PENGENALAN
Sosiologi bermaksud iaitu mempelajari masyarakat, perilaku masyarakat, dan perilaku sosial manusia dengan mengamati perilaku kelompok yang dibangunnya serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sosiologi. Di samping itu,turut dikaitkan dengan pencetus sosiologi, Augustu Comte yang dikenali sebagai ‘bapak sosiologi’, Emile Durkheim (ilmuwan sosial Perancis), Herbert Spencer (ilmuwan Inggeris) serta Lester F.Ward (ilmuwan Amerika). Pembelajaran pula bermaksud suatu perubahan dalaman diri seseorang, pembentukan perkaitan-perkaitan baharu ataupun potensi untuk tindak balas yang baharu. Ilmuwan tersebut turut mencetuskan tahap-tahap perkembangan intelektual termasuklah tahap teologis, tahap metafizik dan tahap positif. Secara amnya, sosiologi dan pembelajaran penting dalam pendekatan pengajaran guru kerana dengan ini murid mampu membentuk konsep diri yang positif serta meningkatkan kualiti hidup serta daya sosial pergaulan bersama rakan sebayanya. Sosiologi juga dikaitkan dengan objek iaitu masyarakat yang memerlukan ilmu sosiologi.
TEORI SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Teori Fungsionalisme
Masyarakat selalu dianggap seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian- bahagian dengan fungsi-fungsi yang tersendiri. Teori fungsionalisme memberi penjelasan mengenai organisasi sosial dan menerangkan bagaimana sesuatu organisasi itu dipertahankan. Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan keharmonian masyarakat. Pengkaji-pengkaji telah merumuskan tiga andaian iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan. Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses yang diadaptasikan daripada struktur sosial kepada pembaharuan. Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa mesti memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah jenayah yang wujud di kalangan remaja pada masa kini untuk memastikan suasana di dalam dan di luar sekolah lebih harmoni. Teori ini biasanya digunakan secara survey atau tinjauan yang telah disediakan berdasarkan kaji selidik (questionnaire). Teori ini banyak digunakan di institusi atau sekolah-sekolah di Malaysia.
Teori Konflik
Apa yang tidak boleh dijawab oleh teori fungsionalisme akan dijawab oleh teori konflik. Teori konflik ini menganggap bahawa akan berlaku permasalahan di antara individu dan kumpulan-kumpulan di mana mereka akan cuba untuk mempertahankan idea atau pendapat masing-masing. Melalui pendekatan ini , pengkaji dapat mengkaji secara tinjauan (survey) yang akan ditanya berdasarkan soalan kaji selidik (questionnaire) yang telah disediakan. Terdapat beberapa konflik yang selalu menjadi masalah di sesebuah institusi iaitu sebagai contohnya guru diarah melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka timbullah konflik di antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang di arah. Manakala bagi pelajar pula mereka di tekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan ini telah merampas sebahagian usia kanak-kanak. Mereka masih ingin bermain dengan rakan sebaya. Maka tercetuskan konflik ke atas jiwa kanak-kanak tersebut. Jadi , dengan menggunakan pendekatan makro ini , para pengkaji dapat mengetahui apa masalah yang selalu timbul dalam jiwa masyarakat.
Teori Interaksionisme
Teori interaksi simbolik adalah teori yang bersifat mikro. Perspektif teori ini mengkritik teori fungsionalisme dan konflik kerana terlalu bergantung kepada pendapat bahawa manusia keseluruhannya dibentuk oleh sistem sosial.Bagi teori interaksionisme, manusia tidak pasif dan menekankan bahawa interaksi sosiallah yang membentuk realiti.Teori ini telah diperkenalkan oleh seorang pengkaji yang bernama George Herbert Mead (1863-1931). Manakala ahli yang menerapkan teori ini dalam pendidikan ialah David Hargreaves dalam bukunya yang berjudul “Intepersonal Relation And Education”. Teori ini lebih menfokuskan kepada meneliti makna-makna yang dibentuk oleh masyarakat yang terlibat terutamanya guru dan murid. Mereka juga melihat kepada aspek organisasi sekolah yang membentuk realiti sosial dan tidak melihat bagaimana masyarakat mempengaruhi sekolah.Contohnya, mereka akan mengkaji bagaimana murid mempunyai perangai tidak baik di sekolah dengan melihat cara murid berinteraksi dengan guru.Kelakuan tidak baik itu tidak dikaitkan dengan latar belakang kelas sosial dalam masyarakat.
TOKOH-TOKOH SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Ibnu Khaldun (1332 -1406)
- Lahir di Tunisia.
- Menurutnya, sosiologi merupakan bidang sains yang berdiri sendiri dan memiliki objeknya iaitu peradaban sosial dan peradaban manusia.
- Mengkaji perkaitan antara institusi sosial seperti politik dan ekonomi serta meneliti hubungan antara institusi sosial berkenaan
- Penyelidikan masyarakat secara saintifik dan empirikal dalam mencari punca-punca fenomena sosial.
Auguste Comte (1798-1857)
- Mengasaskan ilmu Sosiologi (Barat).
- Sosiologi = ilmu sains paling signifikan dan kompleks berbanding dengan sains lain.
- Memperkenalkan hierarki sains dengan bidang sosiologi berada pada kedudukan teratas (ratu).
- Penyelidikan masyarakat perlu dilakukan secara saintifik dan sistematik.
Karl Marx (1818-1883)
- Merupakan ahli falsafah, ekonomi, dan revolusi yang berasal dari Jerman.
- Perubahan sosial bukanlah dipengaruhi oleh nilai atau idea, tetapi dipengaruhi oleh ekonomi.
- Mengkritik sistem kapitalisme – pihak berkemampuan (borjuis) mendominasi ekonomi sementara pekerja (proletariat) terpaksa bekerja dengan borjuis.
Emile Durkheim (1858-1917)
- Berasal dari Perancis.
- Sosiologi hanya boleh dianggap sebagai sains sekiranya pengkaji menfokuskan kajian kepada fakta sosial yang perlu dikaji seperti mana mengkaji benda (kehidupan sosial dapat dikaji seperti objek nyata).
- Dalam masyarakat moden pembahagian tugas akan mengambil alih tugas agama sebagai asas ikatan sosial.
- Anomie (perasaan hilang arah disebabkan keadaan sosial tertentu) menyebabkan masyarakat moden memerlukan moral.
Max Weber (1864-1920)
- Strafikasi bukan disebabkan oleh ekonomi sahaja tetapi adalah multidimensi: ekonomi, status dan kuasa.
- Menganggap agama penting sebagai agen perubahan.
- Konsep ideal type = konsep yang menggambarkan ciri utama sesuatu perkara atau fenomena.
- Idea dan nilai (selain faktor ekonomi) memberi kesan kepada perubahan sosial.
- Kajian sosial: manusia perlu ambil kira tentang perilaku (tidak sama seperti mengkaji sains fizikal).
George Herbert Mead (1863-1931)
- Beliau adalah seorang ahli falsafah dan ahli psikologi sosial di University of Chicago.
- Beliau menyatakan bahawa manusia berinteraksi satu dengan yang lain secara langsung melalui simbol-simbol. Simbol boleh terdiri daripada perkataan, objek, perlakuan, bahasa.
- Menurutnya interaksi antara individu adalah sangat penting.
KESIMPULAN
Bidang sosiologi mempunyai pertalian dengan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sejarah, sains politik, psikologi, antropologi dan kerja sosial. Perspektif sosiologi berlainan daripada perspektif asas logik. Ahli sosiologi membuat kajian berdasarkan fakta manakala mereka yang berpegang kepada perspektif asas logik lebih tertumpu kepada kepercayaan dan perkara yang subjektif. Di antara tokoh sosiologi yang terkenal termasuklah Auguste Comte, Harriet Martineau, Herbert Spencer, Emile Durkheim, Max Weber dan Karl Marx. Mereka merupakan pengasas kepada bidang sosiologi. Pada hari ini, sosiologi merupakan bidang yang sangat penting kerana ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.
RUJUKAN
Amir Hasan Dawi (2002) penteorian sosiologi dan pendidikan (edisi kedua). Tajung Malim :
Quantum Books
Cikgu Haname. (2018). Sosiologi dan Pembelajaran: Dimuat turun daripada http://cikguhaname.blogspot.com/2018/11/bab-1-sosiologi-dan-pembelajaran.html.